Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor tampil mengulas perkataan bahaya yang dimaksudkan Kim Pan-gon.
Ketika sesi sidang media khas di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini, Kim Pan-gon telah ditanya berkenaan mengapa beliau meninggalkan pasukan. Kim Pan-gon menegaskan bahawa beliau terpaksa meletak jawatan kerana faktor peribadi.
“Saya bercakap dengan Datuk Presiden (Hamidin) tentang segalanya. Tetapi saya tidak boleh berita kepada semua, ia bahaya. Datuk Hamidin tahu segalanya, lebih baik jangan tanya soalan sebegini.”
Kata-kata Kim Pan-gon itu telah dimuat naik di laman dan Tunku Ismail memberi respon terhadap kenyataan yang diciap @RimauXI tersebut.
“Apa susah. Pergi tanya dia (Kim Pan-gon) beramai ramai apa yang dia maksudkan “dangerous”. Penyokong, Ahli politik dan pihak media. Tanya dia apa maksud dia “dangerous.” Nyatakan dengan lebih spesifik.
“Takut kena tembak? takut kena culik? Kena sepak? Terus terang!”
“@RimauXI Awak dulu pernah datang rumah saya, ada kena belasah? Bawa carta berkenaan konspirasi dalam FAM. Tapi bila saya minta bukti, awak bagitau ini semua teori sahaja. Jadi ini semua lagi satu ciptaan konspirasi teori,” tulis Tunku Ismail.
Untuk mengelakkan tanda tanya, Tunku Ismail menggesa semua pihak samaada penyokong, ahli politik dan juga pihak media untuk bertanya secara terus dengan Kim Pan-gon apa yang dimaksudkan dengan bahaya.
Kim Pan-gon meletak jawatan selepas dua tahun mengemudi skuad Harimau Malaya sejak Jun 2022 hingga Julai 2024. Kejayaan terbesar pengendali asal Korea Selatan ini adalah apabila beliau berjaya membawa Malaysia layak ke pentas Piala Asia 2024 selepas 43 tahun.