Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor meluahkan pandangan mengenai sifat kepimpinan yang perlu ada dalam sesebuah pasukan.
Kenyataan ini dilontarkan oleh Baginda sebaik sahaja skuad JDT II merangkul gelaran juara Piala MFL buat kali pertama setelah menumpaskan pasukan Penang II 7-0 pada Isnin.
Baginda yang meluahkan rasa syukur turut membuktikan bahawa kepimpinan yang mantap bersama visi yang jelas dari pihak atasan bakal memacu kejayaan anak-anak buah.
”Alhamdulillah, apabila kepala betul, ekor pun betul,” ucap DYAM Tunku Ismail.
Malah, Baginda turut menegaskan kejayaan dan rekod yang dicapai JDT 12 tahun sebelum ini adalah bukti perancangan strategik pihak pimpinan kelab dalam merencana hala tuju pasukan.
”12 tahun kejayaan berterusan di dalam dan luar padang.”
“Kejuaraan bersama pasukan senior dan junior, pencapaian di peringkat antarabangsa dan domestik, pembangunan infrastruktur serta pembangunan bakat muda,”
“Rekod dan fakta ini akan kekal utuh dan tidak akan dapat disangkal.”
JDT ketika ini menyapu bersih kesemua kejohanan di setiap peringkat dari senior sehingga pasukan bawah umur untuk mendominasi penuh kejuaraan bola sepak di Malaysia.