DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menyifatkan kejayaan berada dalam kelompok kelab elit Asia sebagai satu pencapaian hebat buat Johor Darul Ta’zim (JDT).
Sejak beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE), JDT sentiasa memberi cabaran hebat kepada pasukan-pasukan elit Asia.
Musim 2024/25 menyaksikan pasukan itu kekal tanpa kalah di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di peringkat Liga Timur ACLE.
Ini termasuk kejayaan mengalahkan Shanghai Shenhua, Ulsan HD dan Pohang Steelers di SSI. Menariknya, aksi-aksi ini turut merekodkan kehadiran yang tinggi.
Atas sebab itu, Tunku Ismail cukup gembira dengan pencapaian JDT di peringkat Asia. Baginda percaya meskipun taraf pertandingan menjadi lebih sukar, itu tidak akan menghalang pasukan itu terus bersaing selepas ini.
“ACLE ialah satu kejohanan yang berprestij. Ia akan menjadi lebih sukar tetapi kita akan terus bekerja keras dan membawa kelab ke hadapan,” katanya di X.
“Pada akhirnya, berada dalam kelompok elit Asia ialah satu pencapaian yang hebat dan satu penghormatan besar.”
JDT menamatkan kempen ACLE di peringkat pusingan 16 terbaik. Ini selepas pasukan itu tewas 1-0 secara agregat kepada kelab gergasi Thailand, Buriram United.