Advertisements
Tunku Ismail Bertemu Erick Thohir
Asia Tenggara
MakanBola
Johor Southern Tigers

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor meluangkan masa bertemu dengan Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir.

Sebelum ini, Tunku Ismail menyatakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memerlukan figura seperti Erick untuk menerajui badan induk itu. Ini kerana figura berusia 54 tahun itu memiliki wang, semangat, kenalan dan pengetahuan untuk kembali memartabatkan bola sepak Indonesia.

Komen baginda kemudiannya mendapat maklum balas positif Erick. Ini mendorongnya untuk menjemput Tunku Ismail untuk membuat pelaburan dalam saingan liga Indonesia baru-baru ini.

Ini kerana Presiden PSSI itu melihat input yang dibawa baginda untuk Johor Darul Ta’zim (JDT) dapat membantu saingan liga negara itu lebih ke hadapan.

Ini membawa kepada pertemuan dua tokoh hebat itu pada malam 12 November lalu. Tunku Ismail dan Erick berbincang tentang banyak perkara termasuk aspek pengurusan dan pengukuhan bola sepak ASEAN.

Pertemuan itu turut disertai pemilik kelab Valencia, Peter Lim, pemilik kelab Persib Bandung, Glenn Sugita dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City FC, Stanley Bernard.

“Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor terima mengadap Erick Thohir, Pengerusi Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia; Glenn Sugita, pemilik kelab Persib Bandung dan Peter Lim, pemilik kelab Valencia CF di Singapura pada 12 November 2024.

“Pertemuan tertumpu kepada senario bola sepak serantau, terutamanya perkembangan bola sepak, pengurusan kelab bola sepak dan langkah-langkah untuk meningkatkan tahap sukan bola sepak di rantau Asia, khasnya di negara-negara ASEAN.

“DYAM Tunku Ismail turut memuji Erick Thohir kerana telah memartabatkan pasukan kebangsaan Indonesia dan Baginda yakin bahawa ada masa depan yang menarik untuk bola sepak ASEAN. Luaskan Kuasamu Johor,” kata pengurusan JDT dalam satu kenyataan.

Erick menyifatkan diskusi bersama baginda cukup baik. Ini kerana kedua-duanya berkongsi visi melihat pasukan-pasukan dari Asia Tenggara memberi cabaran di peringkat antarabangsa.

“Sangat menarik berdiskusi dengan baginda tentang kualiti bola sepak di negara-negara Asia Tenggara. Kami ingin negara di Asia Tenggara bisa bersaing di peringkat Asia bahkan hingga peringkat dunia,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Pertemuan ini berlaku menjelang aksi membabitkan pasukan Indonesia dan JDT. Indonesia fokus untuk dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Jepun dan Arab Saudi pada 15 dan 19 November.

Sementara JDT pula bakal berdepan Lion City Sailors dalam aksi persahabatan kelab antarabangsa pada 16 November.