Tunku Ismail Buat Semangat Pemain JDT Makin Membara
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor memberikan tonik tambahan buat pemain pasukannya.

Skuad Harimau Selatan telah menjulang tiga trofi domestik musim 2024/25 iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super buat musim ke-11 berturut-turut.

JDT kini selangkah untuk merangkul trofi keempat musim ini sekali gus mengulangi pencapaian tersebut memasuki musim ketiga berturut-turut apabila bakal beraksi di pentas akhir Piala Malaysia 2025.

Sri Pahang kendalian Fandi Ahmad bakal menjadi lawan anak didik Hector Bidoglio dalam misi untuk merangkul trofi berprestij tersebut buat musim ketiga berturut-turut.

DYAM Tunku Ismail dalam satu hantaran oleh Johor Southern Tigers memaparkan pertemuan antara Baginda dengan barisan pemain JDT.

“DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor telah mengadakan jamuan makan malam untuk para pemain dan barisan kejurulatihan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di Istana Pasir Pelangi malam ini, 22 April 2025,” ujar kenyataan kelab.

Semangat dan kata-kata azimat daripada baginda sudah pasti menjadi pencetus semangat untuk membantu barisan pemain JDT berjuang sehabis baik pada aksi final kali ini.

Rekod pertemuan berdepan Sri Pahang memihak kepada JDT yang mencatatkan kemenangan dalam 5 pertemuan terakhir.