Sejak mengambil alih Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor selaku pemilik membuktikan visi Baginda bukan sekadar untuk membina sebuah pasukan bola sepak, akan tetapi membentuk legasi yang sempurna.
Di bawah kepimpinan Baginda, JDT muncul kuasa besar bola sepak tanah air dengan menjulang 30 trofi dan struktur kelab yang setaraf kelab elit di dunia. Pencapaian ini bukan hasil semata-mata, tetapi berakar daripada falsafah, budaya kerja, dan profesionalisme tinggi yang diterapkan.
Baginda bukan sahaja memastikan kejayaan di atas padang malah turut mengubah landskap bola sepak Malaysia melalui pembangunan fasiliti bertaraf dunia seperti Stadium Sultan Ibrahim dan akademi profesional untuk melahirkan generasi bakat baharu.
Strategi pengurusan yang teliti di samping kerjasama antarabangsa bersama kelab besar seperti Paris Saint-Germain (PSG) dan pembangunan akar umbi menunjukkan bahawa Baginda sudah merangka pelan 10 tahun ke hadapan untuk kelangsungan JDT.
Puncak kejayaan JDT tercapai ketika menjadi kelab Malaysia pertama yang menjuarai Piala AFC pada 2015 lalu sekaligus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai kelab elit di Asia Tenggara. Bukan itu sahaja, dominasi JDT bagi saingan Liga Super Malaysia juga kekal utuh sehingga kini menerusi kejuaraan ke-11 berturut-turut bagi musim 2024/25.
Kejayaan JDT bukan sekadar diukur melalui jumlah trofi yang kini mencecah 30 kejuaraan. Sistem pengurusan, identiti dan kestabilan yang dicerminkan oleh kelab Selatan tanah air ini juga menjadi contoh terbaik dalam industri bola sepak Malaysia.
Hari ini, JDT berdiri bukan sebagai sebuah pasukan yang biasa, tetapi sebagai simbol profesionalisme, inovasi dan kekuatan sebuah legasi yang dibina dengan visi yang jauh.
Usaha yang tak mengenal erti lelah oleh Tunku Ismail untuk JDT ini adalah sebuah warisan yang bakal terus mekar demi masa hadapan bola sepak Johor di masa akan datang.