DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor telah mengadakan pertemuan dengan Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin berkenaan langkah pembangunan bola sepak.
Pertemuan ini turut disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. Pertemuan empat figura ini diadakan pada 23 Oktober lalu.
Hannah memaklumkan semua idea dan pandangan yang dikongsikan Tunku Ismail sudah ada dalam perancangan yang disediakan FAM.
Perkara itu akan diteliti oleh Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai sebahagian daripada syarat penyaluran dana berjumlah RM15 juta untuk skuad kebangsaan.
“RM15 juta khas yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri untuk pasukan Harimau Malaya perlu digunakan dengan sebaiknya bagi membantu pasukan kebangsaan.
“Patik telah mendengar pandangan dan cadangan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dalam perancangan yang telah disediakan oleh FAM dan semua ini akan diteliti bersama oleh KBS Malaysia dan Kementerian Kewangan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Hannah turut menyifatkan pengalaman yang dimiliki Tunku Ismail mampu menaikkan kembali tahap bola sepak negara. Beliau turut berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi tumpuan secara peribadi untuk membantu Harimau Malaya.
“Pemangku Sultan Johor DYAM Tunku Ismail memiliki pengalaman menaikkan piawaian bola sepak dan saya turut berterima kasih kepada Perdana Menteri kita yang memberi tumpuan secara peribadi untuk membantu skuad kebangsaan kita,” ujarnya.
Terdahulu, Anwar mengumumkan peruntukan RM15 juta untuk membantu bola sepak negara dalam pembentangan Belanjawan 2025 baru-baru ini.