Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) DYAM Tunku Ismail memberikan sebab mengapa beraksi buat JDT adalah satu pilihan yang tepat.
Baginda sebelum ini ada memberikan kenyataan mengenai keputusan pemain yang memilih untuk dipinjamkan ke kelab lain untuk mendapatkan minit permainan.
Tunku Ismail yakin bahawa keseimbangan daripada setiap aspek amat penting buat karier profesional seorang pemain bola sepak.
“Setiap tahun beraksi 25 perlawanan buat JDT, gaji RM50,000 tepat pada masanya.
“JDT juga ada peluang yang tinggi untuk memenangi trofi dan mendapat bonus yang baik setiap perlawanan. Ada juga bonus besar untuk setiap kejuaraan besar.
“Pemain dapat berlatih menggunakan fasiliti terbaik, beraksi di stadium terbaik, aksi pra-musim di Eropah dan potensi untuk beraksi pada kejohanan antarabangsa juga besar,” ujar baginda dalam satu kenyataan.
Baginda juga menjelaskan bahawa situasi ini tidak berlaku sekiranya pemain memilih untuk beraksi buat kelab lain di Malaysia.
“Setiap tahun main 45 perlawanan di mana-mana kelab lain. Gaji RM20,000-30,000. Tak ada bonus setiap perlawanan.
“Peluang untuk memenangi trofi juga kecil. Tiada pusat latihan yang setaraf, padang rumput lembu dan gaji tak konsisten.
“Peluang untuk beraksi pada kejohanan antarabangsa juga renda, aksi pra-musim tidak kompetitif,” tambahnya.
Baginda juga yakin setiap aspek terutamanya pembayaran gaji penting untuk memastikan pemain dapat meneruskan kelangsungan hidup.
“Pada akhirnya, kamu ada bil untuk dibayar, hidup sekarang dan selepaa karier kamu,” ujarnya.