Tunku Ismail: Sasarannya Saya
MakanBola
Johor Southern Tigers

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menyifatkan kecaman yang ditujukan terhadap revolusi Harimau Malaya sebenarnya disasarkan kepada baginda.

Pandangan ini dilontarkan susulan beberapa kenyataan panas yang dilontarkan terhadap revolusi skuad kebangsaan yang dilancarkan bermula tahun ini.

Tunku Ismail percaya kenyatan ini dibuat pihak-pihak tertentu yang tidak mahu melihat revolusi Harimau Malaya mencapai matlamat.

“Dalam tempoh dua bulan atau sebulan yang terakhir, memang jelas ada gerakan-gerakan yang tak mahu perkara ini berjaya. Sasaran utamanya adalah saya,” katanya kepada media hari ini.

“Jadi, (bila) serang saya secara terus tak boleh, pihak-pihak tertentu terpaksa serang JDT (Johor Darul Ta’zim), terpaksa serang liga dan terpaksa main naratif yang berkaitan dengan sentimen skuad kebangsaan.

“Sebenarnya (sasaran mereka itu) saya. Sekarang saya akan berterus terang. Saya akan terus lakukan apa yang saya buat, saya akan teruskan.”

Revolusi Harimau Malaya menyaksikan skuad negara kini dibimbing pengendali Australia, Peter Cklamovski. Projek ini turut menerima suntikan baharu menerusi kehadiran penolong jurulatih dari England, Jose Baxter.

Kempen skuad negara bermula dengan langkah kanan apabila menewaskan Nepal 2-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac lalu.

Kini, fokus Harimau Malaya beralih kepada tiga aksi antarabangsa. Ini termasuk aksi kedua kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun.