Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor kembali menyuarakan pandangan tegas terhadap landskap bola sepak Malaysia yang dilihat masih ketinggalan berbanding negara serantau.
Menerusi satu hantaran di laman X, Tunku Ismail menyentuh masalah mentaliti dalam bola sepak tempatan yang menurut Baginda belum selari dengan keinginan untuk melihat suatu perubahan sebenar.
“Semua bercakap macam kita ini juara Piala Dunia. Nak perubahan tetapi minda masih zaman purba,” tulis DYAM Tunku Ismail.
Tunku Ismail turut membandingkan perkembangan pesat di negara jiran seperti Indonesia, Thailand serta Vietnam yang dilihat lebih ke maju dalam usaha memperkukuh infrastruktur serta pembangunan bola sepak.
“Indonesia, Thailand, Vietnam dah jauh. Semua sudah naik taraf fasiliti bola dan beradaptasi dengan kepakaran asing. Kita setakat bercakap sahaja,” tambah Baginda lagi.
Pandangan ini hadir ketika lagenda bola sepak tanah air, Datuk Santokh Singh menyuarakan kritikan di atas usaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mengambil langkah segera merekrut pemain warisan dan naturalisasi.
””Apa yang saya mahu katakan, FAM kini Persatuan Bolasepak Mat Salleh,” katanya kepada Astro Arena.
“Kenapa anda memanggil mereka pemain warisan? Mereka berada di luar negara dan tidak dapat bermain, mereka datang ke sini menjadi pemain warisan,” tambah Datuk Santokh Singh.