Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor memuji kualiti padang di negara Thailand dan Indonesia.
Baru-baru ini, aksi antara Perak menentang JDT terpaksa ditangguhkan buat kali kedua selepas keadaan padang yang amat teruk disebabkan hujan.
Baginda hairan dengan sikap kelab-kelab di Malaysia yang menolak tawaran kerajaan hasil inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menaik taraf padang di setiap negeri.
Hal ini disebabkan negara jiran seperti Thailand dan Indonesia serta beberapa buah negara lagi sudah pun menaik taraf padang di setiap stadium.
“Ini keadaan padang di Thailand and Indonesia. Infrastruktur bola sepak adalah satu keutamaan. Kejohanan antarabangsa boleh diadakan di negara mereka dan ia juga memberi kelebihan kepada pasukan kebangsaan mereka.
DYAM Tunku Ismail juga memberitahu bahawa rakyat Malaysia mahukan perubahan namun kembali menyokong pihak pengurusan yang tidak kompeten dalam melakukan kerja.
“Di Malaysia, semua nak perubahan tetapi apabila pihak pengurusan lemah dan didesak untuk berubah, yang merungut nak perubahan datang membela pengurusan masing masing.
“Kerajaan sanggup membantu setiap pasukan. Apa lagi anda mahu? Apa lagi alasan?” tanya baginda.
DYAM Tunku Ismail yakin perubahan infrastruktur penting sekiranya Malaysia mahu bersaing secara kompetitif dengan negara jiran selain meningkatkan kualiti pasukan dalam liga dan juga kebangsaan.