Tunku Ismail Tegur Mentaliti Mundur Bola Sepak Malaysia
MakanBola
Johor Southern Tigers
Sponsors

Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor menzahirkan rasa kecewa terhadap mentaliti sesetengah pihak dalam bola sepak Malaysia yang tidak profesional dan jauh daripada semangat persaingan sihat.

Baginda menegaskan bahawa dominasi JDT bukan sekadar soal penyertaan, sebaliknya berakar daripada usaha konsisten untuk terus berkembang dan meningkat dari tahun ke tahun.

Ad
Sponsors

“Ia bukan sekadar tentang penyertaan. Ia sentiasa tentang penguasaan dan peningkatan sejak dari awal lagi,” titah Tunku Ismail dalam kenyataan yang dimuat naik di Johor Southern Tigers.

Ad

Tunku Ismail turut membidas sesetengah pihak yang sering merungut dan mengadu kononnya tidak mampu bersaing, sehingga mencetuskan sentimen bahawa pasukan lain wajar menarik diri dan mendakwa liga kini sudah ‘mati’.

Baginda menyifatkan dakwaan sedemikian bukan sahaja tidak masuk akal, malah memalukan, apatah lagi apabila dibandingkan dengan liga-liga di negara jiran yang memiliki semangat kompetitif lebih tinggi.

Ad

“Ini memalukan dan negara jiran seperti Thailand serta Indonesia juga nampak jelas mentaliti bola sepak di Malaysia, jika tak mampu bersaing, lebih baik tarik diri,” ujar baginda.

Ad

Tunku Ismail menyeru agar semua pasukan bola sepak di Malaysia bersikap lebih profesional dan berusaha untuk bersaing mengikut kemampuan sendiri, bukan menyalahkan sistem atau menuduh pihak lain mendominasi secara tidak adil.

Ad

Baginda turut menegaskan bahawa kejayaan JDT di pentas Asia bukan hasil kelebihan bajet semata-mata, bahkan dicapai walaupun berhadapan pasukan yang memiliki dana jauh lebih besar.

“JDT juga tidak akan mampu bersaing di pentas Asia jika kita memiliki mentaliti seperti itu, kerana bajet kita jauh lebih rendah berbanding banyak pasukan lain namun kita masih mampu menamatkan saingan di tempat ketiga daripada 12 pasukan pada musim ini,” titah baginda lagi.

Selain itu, baginda menyeru peminat bola sepak tempatan agar melihat pencapaian JDT sebagai satu kebanggaan buat negara, apatah lagi apabila kelab itu kini berada di tangga ke-10 Asia dalam carta Opta Power Rankings.

Tunku Ismail mengakhiri kenyataannya dengan menegaskan bahawa mentaliti mundur dalam bola sepak negara bukan berpunca daripada keinginan untuk memiliki apa yang JDT ada, sebaliknya sekadar tidak mahu melihat kelab itu terus berjaya.

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments