Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor berbalas petanda dengan Tim Cahill.
Baginda sebelum ini telah memberi bayangan bahawa akan ada kerjasama erat dengan kelab gergasi Perancis, Paris Saint Germain (PSG).
Tunku Ismail juga telah berangkat bagi menonton aksi PSG bagi saingan Liga Juara-Juara UEFA baru-baru ini.
“Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menyaksikan perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara UEFA antara Paris Saint-Germain FC dan Aston Villa di Parc des Princes sebagai tetamu khas presiden PSG Nasser Al-Khelaifi.
“Turut mengiringi keberangkatan Baginda adalah Tim Cahill, Penasihat Khas kepada DYAM Pemangku Sultan Johor, Sonny Bill Williams, Duta Sukan Johor, Luis Garcia, Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kiko Insa, Pengarah Sukan JDT,” ujar kenyataan Johor Southern Tigers.
Tim Cahill dan baginda telah memberi bayangan awal berkenaan usaha luar biasa yang bakal dilakukan bersama kelab gergasi Perancis itu menerusi hantaran oleh Tunku Ismail berkenaan perancangan masa depan JDT.
“Ini baru permulaan,” ujar Tim Cahill di laman X.
Baginda turut meninggalkan tanda hanya menunggu masa kepada respon Tim Cahill sekali gus membuatkan peminat teruja.
JDT kekal menjadi wakil tunggal Malaysia pada aksi AFC Champions League Elite (ACLE) selain dalam misi mengekalkan 4 trofi domestik buat musim ketiga berturut-turut.