Pemain pertahanan Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul Fazili berpotensi mengikut jejak Fergus Tierney dan Muhammad Abu Khalil beraksi di Thailand.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai pemain Malaysia yang beraksi atau pernah beraksi dalam saingan Thai League.
Antaranya ialah Tierney, Muhammad, Dion Cools, Dominic Tan, Safawi Rasid, Bryan See, Zafuan Azeman dan Norshahrul Idlan Talaha.
Kini, Ubaidullah berpeluang menjadi pemain Malaysia terbaru beraksi di Thailand.
Ini selepas wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran mendedahkan beberapa kelab Thailand dilaporkan berminat mendapatkan khidmatnya secara pinjaman.
Pemain pertahanan berusia 21 tahun itu dijangka tidak berdepan masalah menyesuaikan diri jika menerima tawaran kelab negara tersebut. Ini kerana Ubaidullah mampu bertutur dalam Bahasa Thai.
“Difahamkan bahawa pertahanan Terengganu, Ubaidullah sedang dipantau oleh beberapa kelab Thailand yang berhasrat untuk mendapatkannya secara pinjaman.
“Untuk makluman, pemain berusia 21 tahun itu berdarah campuran Thai melalui ibunya. Dia juga boleh bertutur dalam bahasa tersebut,” katanya di X.
Ubaidullah mampu beraksi di posisi bek tengah atau bek kiri. Musim 2024/25 menyaksikan beliau merekodkan 35 penampilan, dua gol dan dua bantuan gol dalam semua kejohanan termasuk Shopee Cup.
Ubaidullah bukan satu-satunya pemain Malaysia yang dikaitkan dengan perpindahan ke Thailand. Duo Sabah, Dominic dan Stuart Wilkin turut dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Thai League.