Pemain pertahanan Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul Fazili mengakui salah satu impiannya ialah beraksi di liga luar negara.
Sebelum ini, pemain pertahanan skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) itu dilaporkan berada dalam radar beberapa kelab Thailand.
Kelab-kelab Thailand dilaporkan berminat membawa Ubaidullah beraksi secara pinjaman untuk musim 2025/26.
Sekiranya minat itu diterjemah kepada perpindahan sebenar, beliau akan mengikut jejak ramai pemain negara yang beraksi atau pernah beraksi di Thailand.
Apabila ditanya tentang perkara tersebut, Ubaidullah enggan mengulas tentang kedudukannya. Ini kerana beliau masih memiliki kontrak bersama Peteh.
“Saya ada baki kontrak lagi dengan TFC. Jadi, saya tak nak ulas pasal khabar angin betul atau tidak. Insya Allah, saya akan cuba naikkan karier saya sebagai pemain bola sepak,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Pada masa sama, Ubaidullah mengakui jika beliau dapat beraksi di luar negara, maka impiannya sejak dari kecil itu menjadi kenyataan.
“Bagi saya, itu memang impian saya. Kita bila tengok kawan-kawan berkelana, kita lagi semangatlah nak keluar untuk kebaikan diri sendiri.
“Kalau ada peluang, saya akan cuba manfaatkan peluang itu dengan baik,” ujarnya.
Ubaidullah merekodkan 35 penampilan, dua gol dan dua bantuan gol pada musim 2024/25 termasuk saingan Shopee Cup.