Hasrat ratu berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri melakar kejutan dalam acara keirin wanita UCI Track Nation Cup tidak kesampaian.
Ini selepas pelumba berusia 21 tahun itu mengalami kemalangan dalam saingan repechage pusingan pertama acara keirin wanita.
Izzah Izzati bersaing dalam repechage selepas menamatkan saringan keenam pusingan pertama di tempat keempat.
Situasi ini menyaksikan beliau bersaing dengan Lauriane Genest dari Kanada, Lowri Thomas (Great Britain), Makaira Wallace (Trinidad & Tobago) dan Oleksandra Lohviniuk untuk saringan pertama repechage.
Tatkala saringan pertama repechage memasuki pusingan terakhir, Izzah Izzati terlanggar basikal pelumba lain sebelum terjatuh.
Situasi ini menyebabkan beliau diberi status DNF (tidak menamatkan perlumbaan). Status kecederaan Izzah Izzati masih belum diketahui sehingga artikel ini ditulis.
Sebelum ini, beliau berjaya melakar rekod baru kebangsaan dalam acara pecut wanita. Izzah Izzati merekodkan catatan masa 10.578 saat (s) sekaligus mengatasi catatan 10.658s yang dilakar di ACC 2025.