Arsenal menggunakan kelebihan agregat lalu untuk mara ke separuh akhir UEFA Champions League (UCL) setelah atasi juara bertahan, Real Madrid pada awal pagi Khamis.
Pertemuan di Santiago Bernabeu ini menjadi perhatian satu dunia setelah Arsenal melakar mencipta kejutan mengatasi Real Madrid 3-0 dalam aksi suku akhir pertama minggu lalu.
Oleh itu, Real Madrid pastinya turun berbekalkan sokongan peminat sendiri mahu membalas dendam di atas kekalahan tersebut sekaligus melayakkan diri ke pentas separuh akhir UCL.
Trio Kylian Mbappe, Vinicius Jr dan Rodrygo menjadi taruhan Real Madrid bagi memburu jaringan sementara Arsenal turun dengan gandingan Jakub Kiwior serta William Saliba di bek tengah.
Seawal minit kedua, suasana di stadium menjadi riuh apabila Kylian Mbappe berhasil menembusi gawang Arsenal namun jaringan tersebut dibatalkan oleh penjaga garisan gara-gara ofsaid.
Suhu perlawanan secara tiba-tiba meningkat seketika setelah pengadil menghadiahkan sepakan penalti buat Arsenal akibat tindakan Raul Asencio menarik Mikel Merino di hadapan pintu gol.
Walau bagaimanapun, tendangan kaki kiri Bukayo Saka gagal untuk disudahkan setelah Thibaut Courtois muncul hero Real Madrid dengan tepisan yang menafikan peluang gol Arsenal.
Giliran pasukan pelawat pula cemas tidak lama selepas itu apabila pengadil memberikan tendangan penalti buat Real Madrid namun keputusan itu ditarik balik hasil semakan VAR.
Tekanan tanpa henti diberikan kepada terhadap benteng The Gunners dalam usaha Madrid untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu jaringan sebelum memasuki bilik persalinan.
Separuh masa pertama tamat, Real Madrid 0-0 Arsenal.
Kembali dari rehat, kebuntuan jaringan akhirnya terlerai pada minit ke-65 apabila Bukayo Saka menebus kegagalan di awal babak pertama dengan gol buat Arsenal hasil hantaran Mikel Merino.
Seminit kemudian, Madrid membalas dengan gol penyamaan menerusi Vinicius Jr yang berhasil mencuri bola dari kaki bek Arsenal, William Saliba sebelum menolaknya ke gawang yang kosong.
Anak didik Carlo Ancelotti kini terus berusaha keras dalam mendapatkan tambahan gol tatkala waktu semakin hampir menuju ke penamat dengan pelawat kekal bertahan hingga habis.
Di masa tambahan, Gabriel Martinelli muncul wira Arsenal dengan jaringan kedua bagi melengkapkan hari ceria buat penyokong wakil tunggal England itu ke atas juara bertahan.
90 minit perlawanan di Santiago Bernabeu berakhir dengan keputusan 2-1 dan membawa Arsenal mara ke separuh akhir secara agregat 5-1.
Menanti Arsenal di separuh akhir nanti merupakan pasukan gergasi dari Perancis iaitu Paris Saint-Germain dengan aksi timbal balik pertama dijadualkan berlangsung pada 29 April ini.