UCL: Barcelona Bangkit Sekat Inter Milan
MakanBola
FC Barcelona
Sponsors

Barcelona bangkit mengikat Inter Milan 3-3 dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara UEFA (UCL) penuh menghiburkan di Stadium Olimpik Lluis Companys.

Kedua-dua pasukan memburu kemenangan sebagai kelebihan dalam aksi timbal balik di San Siro pada 7 Mei.

Ad

Lamine Yamal merekodkan penampilan ke-100 buat Barca. Penjaga gol Switzerland, Yann Sommer terus diberi kepercayaan mengawal benteng Nerazzurri selepas hanya dibolosi lima gol untuk UCL 2024/25.

Separuh masa pertama menyaksikan Inter Milan terlebih dahulu di hadapan seawal minit pertama menerusi Marcus Thuram.

Ad

Bek sayap kanan Belanda, Denzel Dumfries membuat satu hantaran dalam kotak penalti yang mudah disudahkan penyerang Perancis itu melepasi Wojciech Szczesny.

Ad

Tersentak, Barca mula memberi tekanan kepada pelawat. Ferran Torres hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-12 tetapi percubaan beliau sedikit tersasar.

Ad

Sembilan minit kemudian, giliran Dumfries pula mencetak nama sebagai penjaring. Tandukan bek tengah veteran, Francesco Acerbi mudah disudahkan beliau untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Keceriaan kem Nerazzurri hanya bertahan selama tiga minit. Yamal melakukan satu rembatan lencong yang menewaskan Sommer untuk gol ke-15 beliau musim ini.

Torres menebus kesilapannya dengan menyumbat gol penyamaan pada minit ke-38. Sommer tidak berupaya menyekat tolakan bekas pemain Manchester City ke arah gawang beliau.

Barca kemudiannya terpaksa membuat pertukaran awal sebelum rehat dengan memasukkan Eric Garcia. Ini selepas Jules Kounde tidak dapat meneruskan permainan akibat kecederaan.

Tuan rumah terus memberi tekanan kepada Inter tetapi keputusan 2-2 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, jurulatih Barcelona, Hansi Flick membuat satu lagi pertukaran dengan memasukkan Ronald Araujo menggantikan Eric Martin.

Malangnya, gawang Barca bocor buat kali ketiga pada minit ke-64. Dumfries sekali lagi mencipta nama sebagai penjaring apabila tandukannya terkena badan Dani Olmo sebelum menerjah jaring.

Sommer kemudiannya bernasib malang apabila menjaringkan gol sendiri seminit selepas itu. Bola rembatan deras Raphinha terkena palang sebelum terkena badan Sommer dan menerjah jaring.

Kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol kemenangan tetapi keputusan 3-3 kekal sehingga tamat perlawanan.

Barca dan Nerazzurri perlu meraih kemenangan di San Siro pada 7 Mei ini jika ingin mara ke pentas final.

Sofascore memilih Dumfries sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 9.0. Beliau mengatasi Yamal yang meraih 8.5 mata.

Selepas ini, Barcelona akan menentang Valladolid pada 4 Mei. Inter pula akan menentang Verona pada hari yang sama.

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments