Barcelona meraih kelebihan selesa untuk aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara UEFA (UCL) apabila membelasah Borussia Dortmund 4-0.
Aksi ini cukup menarik kerana menemukan pengurus Barca, Hansi Flick dengan bekas pembantunya, Niko Kovac yang kini melatih Der BVB.
Robert Lewandowski terus menjadi sandaran gol Barcelona. Penyerang Jerman, Karim Adeyemi dipilih mengetuai jentera serangan Dortmund.
Separuh masa pertama menyaksikan gawang Der BVB hampir dibolosi sebanyak tiga kali dalam tujuh minit pertama menerusi Lamine Yamal dan Lewandowski.
Malangnya, setiap percubaan mereka digagalkan oleh penjaga gol, Gregor Kobel. Gol yang dicari Barca muncul pada minit ke-25.
Kobel tidak dapat menyambar bola yang ditolak Pau Cubarsi. Itu sudah cukup buat Raphinha melepasi perangkap ofsaid untuk meletakkan Barcelona di hadapan.
Tersentak, Dortmund mula meningkatkan tekanan untuk memburu gol penyamaan. Serhou Guirassy hampir menyamakan kedudukan pada minit akhir babak pertama tetapi percubaannya tersasar.
Ini membolehkan Barca mempertahankan kelebihan 1-0 yang dimiliki sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, Kovac memasukkan Maximilian Beier sebagai pengganti Adeyemi untuk mengubah momentum perlawanan kembali kepada Der BVB.
Malangnya, itu tidak berlaku. Sebaliknya, giliran Lewandowski mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-48.
18 minit selepas itu, penyerang Poland itu menambah derita Dortmund untuk gol ketiga Barcelona. Itu juga merupakan gol ke-99 beliau bersama kelab Catalan itu.
Yamal memastikan kelebihan empat gol Barcelona sukar dicabar dengan gol keempat pada minit ke-77. Keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Kovac dan Dortmund perlu bangkit mengatasi defisit empat gol dalam aksi timbal balik pada 18 April jika mahu ke separuh akhir.
Sofascore memilih Raphinha sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.9. Bekas pemain sayap Leeds United itu turut menyamai rekod gol terbanyak UCL untuk Barcelona dengan Lionel Messi iaitu 12 gol.
Selepas ini, Barca akan berdepan Leganes pada 13 April. Der BVB berdepan tugas mencabar apabila menentang pendahulu Bundesliga, Bayern Munich pada hari yang sama.