Inter Milan mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara UEFA (UCL) meskipun diikat 2-2 oleh Bayern Munich dalam aksi suku akhir kedua.
Selepas tewas tipis 2-1 di Allianz Arena, Die Roten perlu mengatasi defisit dua gol yang dimiliki Nerazzurri di San Siro untuk mara.
Thomas Muller membuat penampilan ke-163 dalam UCL untuk Bayern. Peledak Argentina, Lautaro Martinez menjadi sandaran gol pengendali Inter, Simone Inzaghi.
Separuh masa pertama menyaksikan Nerazzurri hampir mendahului menerusi Marcus Thuram seawal minit keempat. Malangnya, percubaan beliau pantas disekat penjaga gol pelawat, Jonas Urbig.
Lima minit selepas itu, giliran Federico Dimarco menguji kecekapan Urbig. Percubaan beliau dari sudut sukar memudahkan penjaga gol berusia 21 tahun itu menangkap bola percubaannya.
Meskipun banyak mencipta peluang, barisan tengah Inter kerap kehilangan penguasaan bola. Mereka bernasib baik tidak dihukum Leroy Sane pada minit ke-39.
Selepas berjaya melepasi barisan pertahanan tuan rumah, bekas bintang Manchester City itu melepaskan rembatan ke arah gol. Percubaan Sane berjaya disekat penjaga gol Inter, Yann Sommer.
Kedua-dua pasukan terus buntu mencari gol pendahuluan. Keadaan ini memastikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, permainan kedua-dua pasukan semakin rancak. Kesungguhan Die Roten memburu gol akhirnya berhasil menerusi Harry Kane pada minit ke-52.
Penyerang berbisa England itu melepaskan rembatan melalui kaki Dimarco sebelum menerjah jaring. Ini menjadikan kedudukan agregat 2-2.
Keceriaan kem pelawat hanya bertahan selama enam minit. Martinez memastikan Inter kembali mendahului 3-2 secara agregat menerusi rembatan dari jarak dekat yang menewaskan Urbig.
Pemain pertahanan Perancis, Benjamin Pavard menggandakan kelebihan agregat Inter pada minit ke-61. Beliau mudah menanduk hantaran sepakan sudut Hakan Calhanoglu.
Bekas bek tengah Tottenham Hotspur, Eric Dier merapatkan jurang agregat kepada 4-3 menerusi gol pada minit ke-76.
Die Roten terus meningkatkan serangan ke atas kubu Nerazzurri. Malangnya, barisan pertahanan Inter kental mempertahankan keputusan 2-2 sehingga wisel penamat.
Keputusan ini menyaksikan Inter bakal bertemu dengan Barcelona di peringkat separuh akhir. Satu lagi aksi separuh akhir menemukan Arsenal dan Paris Saint-Germain (PSG).
Martinez dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 8.0. Beliau mengatasi Dier dengan kelebihan 0.1 mata.
Selepas ini, Nerazzurri kembali fokus kepada pemburuan gelaran juara Serie A. Mereka bakal bertemu Bologna pada 21 April.
Misi sama turut digalas Die Roten dalam saingan Bundesliga. Bayern yang dibimbing Vincent Kompany bakal bertemu Heidenheim pada 19 April.