Pusingan 16 terakhir Liga Juara Juara Eropah (UCL) diteruskan lagi dengan pertembungan Arsenal dan kelab gergasi Portugal, FC Porto dengan Porto berkelebihan agregat 1-0 sebelum aksi kedua pusingan 16 terakhir dimulakan.
Kedua-dua pasukan menurunkan pasukan terkuat masing-masing bagi mencerahkan peluang untuk mara ke pusingan suku akhir.
Arsenal memulakan perlawanan dengan serangan bertali arus sekali gus memaksa Porto bertahan di awal permainan.
Pada minit ke-13, Arsenal hampir di depan menerusi Bukayo Saka, namun kecekapan penjaga gol Porto, Diogo Silva berjaya menidakkan jaringan awal Arsenal.
Serangan tanpa henti Arsenal akhirnya membuatkan hasil selepas penyerang kebangsaan Belgium, Leandro Trossard meletakkan Arsenal di hadapan pada minit ke-41 selepas menyambar hantaran kemas dari Martin Odegaard. Arsenal di hadapan 1-0 dan agregat kini terikat 1-1.
Separuh masa pertama ditamatkan dengan kedudukan 1-0 memihak tuan rumah, Arsenal.
Bersambung separuh masa kedua, Porto mula mengimbangi serangan dari Arsenal dengan beberapa kali mencipta gerak serangan merbahaya demi mencari jaringan penyamaan.
Francisco Conceição mempunyai peluang keemasan untuk meledak jaringan pada minit ke-70 melalui satu serangan balas, namun penjaga gol Arsenal, David Raya berjaya menyelamatkan percubaan merbahaya tersebut.
Kedudukan 1-0 kekal sehingga 90 minit permainan dan mengheret perlawanan berlanjutan ke masa tambahan 30 minit.
Masa tambahan dimulakan dengan kedua-dua pasukan lebih berhati-hati dalam melancarkan serangan namun tumpuan lebih terarah kepada Arsenal yang menguasai penguasaaan bola.
Walaupun Arsenal berjaya mencipta gerak serangan yang merbahaya namun kecekapan Diogo Silva menjadi penghalang utama buat Arsenal. Kedudukan agregat 1-1 kekal sehingga tamat masa tambahan dan perlawanan berlanjutan ke penentuan sepakan penalti.
David Raya mempamerkan kehebatan selepas berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti Porto sekali gus menghadiahkan kemenangan 4-2 buat Arsenal dan melayakkan Arsenal ke suku akhir.