Real Madrid dan Bayern Munich terpaksa menelan kepahitan dalam aksi kedua Liga Juara-Juara UEFA (UCL) apabila tewas mengejut kepada lawan masing-masing.
Barisan bintang Los Blancos yang diketuai Jude Bellingham tergamam apabila menjadi mangsa kekalahan 1-0 di tangan kelab Ligue 1, Lille di Stade Pierre-Mauroy.
Lebih perit, Real Madrid tewas menerusi penalti minit akhir babak pertama yang dijaringkan Jonathan David.
Tuan rumah dianugerahkan penalti selepas pengadil mengesan Eduardo Camavinga menahan bola dengan tangan dalam kotak penalti. Meskipun dibantah pemain-pemain Real Madrid, keputusan pengadil disahkan menerusi semakan VAR.
Selepas ketinggalan, jurulatih Itali, Carlo Ancelotti memasukkan Luka Modric dan Kylian Mbappe untuk memburu gol penyamaan. Malangnya, gol penyamaan yang dicari tidak hadir dan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Bayern Munich turut senasib dengan Los Blancos apabila tewas 1-0 kepada Aston Villa di Villa Park. Aksi ini cukup istimewa kerana ini kali pertama kedua-dua pasukan bertemu sejak final Piala Eropah 1982.
Meskipun diketuai penjaring terbanyak mereka, Harry Kane, Die Roten berdepan kesukaran menembusi barisan pertahanan Villa diketuai Diego Carlos.
Penyerang gantian dari Colombia, Jhon Duran muncul wira dengan meledakkan gol keenamnya dalam semua kejohanan pada minit ke-79.
Gol tersebut memastikan Bayern yang dibimbing Vincent Kompany mengalami kekalahan pertama mereka dalam semua kejohanan untuk musim 2024/25.
Kemenangan ini menyaksikan Villa dan Lille masing-masing menduduki tangga keenam dan ke-18 carta liga UCL. Manakala Real Madrid dan Bayern pula jatuh ke tangga ke-15 dan ke-17.
Kedua-dua pasukan itu berharap kekalahan ini tidak menjejaskan momentum dalam saingan La Liga dan Bundesliga. Los Blancos dan Die Roten masing-masing bakal berdepan Villareal dan Eintracht Frankfurt pada 6 Oktober ini.