Manchester United mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Liga Europa UEFA (UEL) dengan menewaskan Olympique Lyon 5-4 di Old Trafford.
Selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 di Lyon pada 11 April lalu, kemenangan dilihat tiket yang diperlukan untuk mara ke separuh akhir.
Rasmus Hojlund menjadi pilihan Ruben Amorim menggantikan Joshua Zirkzee. Rayan Cherki dan Georges Mikautadze menjadi sandaran gol pengurus Lyon, Paulo Fonseca.
Separuh masa pertama menyaksikan United membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi Manuel Ugarte.
Selepas berjaya melepasi dua pemain pertahanan pelawat, Bruno Fernandes menghantar bola yang mudah disudahkan Ugarte melepasi penjaga gol, Lucas Perri.
Tersentak, Les Gones cuba bangkit mendapatkan gol penyamaan. Malangnya, The Red Devils menggandakan kelebihan mereka pada minit akhir babak pertama.
Kali ini, giliran Diogo Dalot pula mencipta nama sebagai penjaring. Pemain pertahanan Portugal itu mudah menyudahkan hantaran jauh Harry Maguire melepasi Perri.
Ini memastikan United mendahului 2-0 sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, Lyon cuba mengubah momentum permainan kembali memihak kepada mereka tetapi tidak berhasil.
Situasi ini mendorong Fonseca memasukkan Tanner Tessmann dan bekas penyerang Arsenal, Alexander Lacazette sebagai pemain gantian.
Hasilnya, Corentin Tolisso memberi talian hayat kepada Les Gones pada minit ke-71. Kegagalan barisan pertahanan United mengeluarkan bola dari kotak penalti menyebabkan bola ditanduk Lacazette sebelum disudahkan Tolisso.
Enam minit selepas itu, giliran pemain pertahanan Argentina, Nicolas Tagliafico menjadikan kedudukan 2-2. Ini menjadikan keputusan agregat semasa 4-4.
Lyon kemudiannya bernasib malang apabila dipaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-89. Ini selepas Tolisso mengutip kad kuning kedua kerana menjatuhkan Leny Yoro.
Kedua-dua pasukan terikat 2-2 sehingga tamat 90 minit. Perlawanan kemudiannya dibawa ke masa tambahan untuk menentukan pemenang dari segi agregat.
Rayan Cherki menceriakan kem Lyon dengan meletakkan pasukan Perancis itu di hadapan pada minit ke-104.
United bernasib malang apabila pemain gantian, Luke Shaw dikesan menjatuhkan Malick Fofana dalam kotak penalti. Lacazette tenang menewaskan Andre Onana pada minit ke-109 untuk menjadikan keputusan agregat 4-2.
Penyokong The Red Devils kemudiannya ceria apabila pasukan itu menyumbat tiga gol dalam tujuh minit. Fernandes menyempurnakan penalti buat tuan rumah pada minit ke-113.
Kemudian, giliran Kobbie Mainoo menjadikan kedudukan agregat 4-4 menerusi gol pada minit ke-120. Mainoo melepaskan rembatan lencong ke arah gawang Lyon meskipun dikawal tiga pemain.
Harry Maguire memastikan United ceria apabila menanduk bola melepasi Perri pada minit ke-122. Itu sudah cukup membawa juara The Emirates FA Cup musim 2023/24 itu ke separuh akhir UEL.
The Red Devils bakal berdepan wakil Sepanyol, Athletic Bilbao di peringkat separuh akhir. Satu lagi aksi separuh akhir menemukan Tottenham Hotspur dengan Bodo/Glimt.
Sofascore memilih Casemiro sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 9.3. Beliau mengatasi Maguire dengan kelebihan 1.1 mata.
Selepas ini, United akan menentang Wolves di Old Trafford pada 20 April. Lyon pula akan menentang Saint Etienne pada 21 April.