Dua kesilapan Andre Onana mengakibatkan Manchester United diikat 2-2 oleh Olympique Lyon dalam aksi suku akhir pertama Liga Europa UEFA (UEL).
United dan Lyon memburu kemenangan bagi membolehkan mereka meraih trofi untuk musim 2024/25. Aksi tersebut turut dihangatkan dengan perang mulut membabitkan Onana dan bekas bintang The Red Devils, Nemanja Matic.
Penjaga gol Cameroon itu terus diberi kepercayaan oleh Ruben Amorim untuk mengawal gawang United. Penyerang Georgia, Georges Mikautadze mengetuai serangan Les Gones.
Babak pertama menyaksikan The Red Devils hampir mendahului menerusi Rasmus Hojlund pada minit ke-18. Malangnya, percubaan penyerang Denmark itu tersasar.
Enam minit kemudian, giliran Casemiro cuba melambungkan bola untuk memerangkap penjaga gol tuan rumah, Lucas Perri. Cubaan pemain tengah Brazil itu mudah diselamatkan Perri.
Thiago Almada meletakkan Lyon di hadapan pada minit ke-26. Sepakan percuma beliau gagal diagak Onana sebelum bola menerjah jaring.
Tatkala Lyon menyangka mereka membawa kelebihan 1-0 sehingga rehat separuh masa, Leny Yoro memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Bersambung selepas rehat, United terus memberi tekanan kepada Lyon untuk memburu jaringan penyamaan.
The Red Devils bernasib baik apabila gawang mereka tidak dibolosi lagi pada minit ke-54. Bekas bintang Arsenal, Alexander Lacazette menguji gawang pelawat tetapi percubaan beliau tersasar.
Situasi ini mendorong Amorim memasukkan Joshua Zirkzee dan Mason Mount untuk mengubah momentum perlawanan. Zirkzee menceriakan kem United dengan menyumbat gol kedua pada minit ke-88.
Tatkala kem The Red Devils bersiap sedia meraikan kemenangan, Onana sekali lagi melakukan kesilapan. Kali ini, beliau terlepas bola sepakan Mikautadze yang mudah ditolak Rayan Cherki pada minit akhir permainan.
Keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan. The Red Devils perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di Old Trafford pada 18 April jika ingin mara ke peringkat separuh akhir.
Cherki dipilih Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 7.8. Beliau mengatasi cabaran kapten United, Bruno Fernandes yang mendapat markah 7.7.
Selepas ini, The Red Devils akan berdepan Newcastle United pada 13 April. Les Gones pula akan berdepan Auxerre pada 14 April.