UEL: Tottenham Akhiri Kemarau Trofi, Tundukkan Manchester United
MakanBola
Tottenham Hotspurs FC

Perlawanan akhir UEFA Europa League (UEL) menyaksikan Tottenham Hotspurs muncul selaku juara setelah kalahkan Manchester United pada awal pagi Khamis.

Pertembungan yang dinantikan ramai ini mendapat perhatian apabila Tottenham serta Manchester United berhasrat untuk menamatkan musim ini dengan satu trofi setelah aksi hambar di liga.

Tottenham turun tanpa peledak utama, Son Heung-min yang diletakkan di bangku simpanan manakala Manchester United pula pertaruh gandingan Bruno Fernandes serta Casemiro di jentera tengah.

Permulaan seimbang di awal babak pertama dengan United tampak ditekan hebat oleh Tottenham setiap kali anak-anak didik Ruben Amorim cuba mengawal penguasaan bola dari kawasan sendiri.

Jaringan pertama berjaya dihasilkan oleh Tottenham terlebih dahulu di minit ke-42 menerusi penyerang England, Brennan Johnson yang cemerlang mengelirukan Andre Onana di pintu gol United.

Separuh masa pertama tamat, Tottenham 1-0 Manchester United.

Kembali dari rehat, United berpeluang bagi menjaringkan gol penyamaan menerusi tandukan Rasmus Hojlund namun bek Tottenham, Micky van de Ven pantas memintas bola sebelum melintasi garisan.

Usaha tanpa henti United tampak tidak membuahkan hasil dengan Tottenham kekal ampuh bertahan tatkala The Red Devils gagal menyempurnakan peluang bagi mendapatkan gol pertama.

Aksi di San Mames, Bilbao berakhir dengan keputusan 1-0 memihak Tottenham Hotspurs.

Ini merupakan kejuaraan UEL ke-3 Tottenham dalam sejarah setelah turut muncul sebagai juara ketika musim 1971-1972 dan 1983-1984 yang pada masa itu dikenali sebagai UEFA Cup.