Bek tengah Selangor FC, Umarbek Eshmurodov berhasrat membawa Uzbekistan layak ke Piala Dunia 2026.
Selepas meraih kemerdekaan daripada Kesatuan Soviet pada 31 Ogos 1991, negara itu belum pernah layak ke Piala Dunia.
The White Wolves hampir layak ke pusingan playoff antara benua untuk Piala Dunia 2014 tetapi tewas kepada Jordan menerusi sepakan penalti.
Kini, pasukan itu semakin hampir merealisasikan impian berkenaan berdasarkan kedudukan semasa dalam Kumpulan A. Uzbekistan dan Iran kini menduduki tangga teratas kumpulan dengan 10 mata tanpa sebarang kekalahan.
Walau bagaimanapun, Iran muncul peneraju kumpulan kerana memiliki kelebihan jaringan yang lebih baik. Umarbek melihat Uzbekistan berada dalam kedudukan baik untuk mencipta sejarah dalam babak sukan negara itu.
“Kita mendapat peluang yang cukup baik untuk layak ke Piala Dunia. Rakyat Uzbekistan cukup teruja tentang perkara ini. Kita cuma perlu pastikan usaha ini diselesaikan dan pastikan kita menunjukkan prestasi terbaik dalam setiap perlawanan.
“Pasukan perlu terus mengekalkan kerjasama dan mewakili negara kita di peringkat yang tertinggi. Ia satu penghormatan tetapi ia juga satu tanggungjawab yang besar bukan saja buat para pemain tetapi untuk seluruh negara Uzbekistan.
“Kita tidak boleh mengecewakan para penyokong. Kejayaan kita cukup bermakna buat negara kita dan kita mahu memanfaatkan detik ini dan mencipta nama dalam lembaran sejarah,” katanya kepada FIFA.com.
Umarbek turut berharap prestasinya bersama Merah Kuning menjadi tonik untuk membantu Uzbekistan lebih cemerlang di pentas antarabangsa.
“Syukur, semuanya berjalan lancar di Selangor. Pasukan memiliki ramai pemain muda dan saya berusaha menyokong mereka dan membantu pasukan untuk tampil cemerlang. Saya suka berkongsi ilmu (dengan mereka).
“Matlamat saya bersama skuad kebangsaan ialah membantu kita layak ke Piala Dunia dan memberi sesuatu (yang diraikan) oleh orang kita. Saya akan berikan segala-galanya kerana ia memberi makna besar buat kita,” ujarnya.
Sejak bersama Selangor pada musim 2024/25, Umarbek sudah merekodkan 16 penampilan, satu gol dan satu bantuan gol dalam semua kejohanan termasuk Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Uzbekistan bakal turun menentang juara Piala Asia 2023, Qatar pada awal pagi 15 November. Ini disusuli aksi menentang Korea Utara di Laos pada 19 November.