Bek tengah Uzbekistan, Umarbek Eshmurodov mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan gergasi Lembah Klang, Selangor FC.
Ini selepas pengurusan The Red Giants memilih untuk tidak melanjutkan kontraknya yang berakhir pada Disember 2024. Keputusan ini diumumkan di laman sesawang rasmi Selangor.
“Selangor FC secara rasmi hari ini melepaskan pemain pertahanan, Umarbek Eshmurodov setelah kontrak beliau tamat pada Disember 2024,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Pengumuman ini menyaksikan Umarbek kembali meneruskan karier permainan beliau di tanah airnya, Uzbekistan. Beliau dilaporkan akan beraksi untuk kelab gergasi Uzbekistan, FC Nasaf.
“Umarbek adalah pemain asing musim 2024/25 pertama Selangor FC yang diumumkan pada bulan Februari lalu, kini dilepaskan untuk terus mengembangkan karier beliau di negara kelahirannya Uzbekistan,” tambahnya.
“Selangor FC merupakan kelab pertama beliau beraksi di luar negara, namun semangat yang ditunjukkan beliau ketika bersama kem Merah Kuning merupakan sesuatu yang wajar dibanggakan.”
Umarbek merekodkan 19 penampilan dan satu gol dalam semua kejohanan termasuk saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Beliau turut membantu Selangor merekodkan lapan perlawanan tanpa bolos dalam tempoh berkenaan.
Situasi ini menyaksikan The Red Giants kini memiliki sembilan pemain import. Sembilan pemain tersebut ialah kapten Safuwan Baharudin, Yohandry Orozco, Ronnie Fernandez, Ali Olwan, Omid Musawi, Nikola Jambor, Alex Agyarkwa, Mohammad Abualnadi dan Noor Al-Rawabdeh.