Pendahulu Women’s Super League (WSL), Manchester United menolak tawaran rekod dunia daripada Arsenal untuk mendapatkan khidmat penyerang sensasi mereka Alessia Russo.
Kontrak penyerang England itu bersama pasukan wanita United akan tamat pada penghujung musim ini, namun kelab itu nampaknya tidak berminat untuk menjualnya kepada kelab seteru utama, itupun begitu hampir kepada tarikh tutup jendela perpindahan WSL pada Selasa.

Arsenal ketika ini berada di tangga ketiga WSL, ketinggalan hanya tiga mata kepada United dan Chelsea, namun beraksi kurang satu perlawanan.
United sebenarnya telah pun mula berunding dengan Russo mengenai kontrak baru sejak beberapa bulan lalu, tetapi tiada perkembangan dilaporkan.
Justeru itu, Russo bebas untuk berunding dengan kelab lain untuk perpindahan musim panas, dan selain Arsenal, difahamkan beberapa kelab lain turut berminat memancing khidmatnya termasuk dari Amerika Syarikat.
Russo yang berusia 24 tahun, setakat ini telah meledak lima gol dalam sembilan perlawanan.
Sebagai makluman, rekod pemain termahal dunia untuk pemain wanita ketika ini dipegang oleh Keira Walsh menerusi perpindahan bernilai hampir £400,000 dari Manchester City ke Barcelona pada September 2022.