Uzbekistan Simpan Taring Sebenar Ketika Tewaskan Indonesia
MakanBola
AFC

Jurulatih Uzbekistan, Timur Kapadze berpendapat kemenangan ke atas Indonesia di saingan separuh akhir Piala Asia Bawah 23 Tahun Qatar bukanlah prestasi sebenar barisan pemainnya.

Pengendali berusia 42 tahun itu percaya anak buahnya mampu melakukan lebih baik lagi namun akur dengan tekanan yang diterima sepanjang perlawanan berlangsung.

“Memang benar kami mendominasi permainan ini, pemain saya lebih baik dari segi fizikal dan taktikal. Ia adalah permainan di mana kami merasakan tekanan kerana kami mahu pergi ke Sukan Olimpik.

“Kami boleh melakukan lebih banyak lagi tetapi seperti yang saya katakan, ini adalah permainan yang memberikan tekanan untuk kami. Kami mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol tetapi tidak berjaya menterjemahkannya dengan sebahagian besar daripada kami melakukan beberapa kesilapan juga yang perlu kami analisis dan perbaiki,” jelas Timur Kapadze seperti dipetik AFC.

Dengan kemenangan ke atas Indonesia itu, Uzbekistan disahkan akan beraksi di pentas Sukan Olimpik Paris 2024. Kini Uzbekistan mensasarkan satu lagi pencapaian iaitu membawa pulang trofi kejuaraan di Qatar.

“Kami telah mencapai sasaran pertama kami (layak ke Olimpik) tetapi sekarang, kami mesti menyasarkan untuk mencapai sasaran kedua iaitu membawa pulang piala,” ujar Timur lagi.

Uzbekistan akan bertemu Jepun dalam aksi final Piala Asia B-23 yang dijadualkan berlangsung pada 3 Mei depan.