Pemain pertahanan skuad B-23 Malaysia, V. Ruventhiran melihat Thailand mampu ditewaskan menjelang aksi terakhir Kumpulan H yang berlangsung esok.
Bek kiri Selangor FC itu berpandangan sedemikian kerana beliau pernah membantu skuad senior negara mengalahkan Gajah Perang dalam aksi separuh akhir Piala AFF 2022.
Justeru, pengalaman itu mahu dimanfaatkan bagi membantu Harimau Muda mengalahkan Thailand dan mara ke Piala Asia B-23 2024 sebagai juara kumpulan.
“Tidak kerana saya tahu Thailand satu pasukan yang besar. Pada masa sama, saya ada pengalaman menewaskan mereka dalam Piala AFF.
“Jadi, perlawanan (esok) akan menjadi rancak dan mencabar kerana mereka mahu layak. Jadi, kita akan lakukan apa yang terdaya untuk menang. Tolong sokong kami tak kira di mana jua anda berada,” katanya kepada laman sesawang FAM.
Aksi terakhir Kumpulan H membabitkan Malaysia-Thailand bakal berlangsung di Stadium Chonburi esok.
16 pasukan terbaik terdiri daripada 11 pasukan juara kumpulan, empat naib juara kumpulan terbaik dan tuan rumah Qatar layak beraksi di pentas Piala Asia B-23 2024.