Liga Perdana Inggeris (EPL) bakal memutuskan sama ada sistem bantuan video pengadil (VAR) akan dimansuhkan atau tidak pada musim hadapan.
Express & Star melaporkan pasukan yang berpangkalan di Black Country, Wolverhampton Wanderers telah menghantar usul mencadangkan pemansuhan VAR kepada EPL.
Usul ini akan dibincangkan dan dibawa ke peringkat undian dalam mesyuarat agung 20 kelab EPL yang diadakan di Harrogate pada 5 Jun ini.
Pengurusan Wolves berbuat demikian selepas merasakan VAR bukan saja merosakkan hubungan penyokong dengan bola sepak. Malah, ini secara tidak langsung menjejaskan nilai komersial EPL itu sendiri.
“Wolves secara rasmi mengemukakan resolusi kepada EPL untuk mencetuskan undian pada AGM liga pada bulan Jun, mengenai penyingkiran VAR dari awal musim 2024/25.
“Pengenalan VAR pada 2019/20 ialah keputusan yang dibuat dengan niat baik dan dengan mengambil kira kepentingan terbaik bola sepak dan EPL di tengah-tengahnya.
“Walau bagaimanapun, ia telah membawa kepada banyak kesan negatif yang tidak diingini yang merosakkan hubungan antara peminat dan bola sepak serta menjejaskan nilai jenama EPL.
“Keputusan untuk membentangkan resolusi itu datang selepas pertimbangan yang teliti dan rasa hormat sepenuhnya kepada EPL, PGMOL (badan pengadil profesional England) dan rakan-rakan pesaing kami.
“Tiada (siapa) perlu dipersalahkan – kami semua hanya mencari hasil terbaik untuk bola sepak dan semua pihak berkepentingan telah berusaha keras untuk mencuba dan menjayakan pengenalan teknologi tambahan.
“Bagaimanapun, selepas lima musim VAR di EPL, sudah tiba masanya untuk perdebatan yang bersifat membina dan kritikal mengenai masa depannya.
“Kedudukan kami ialah harga yang kami bayar untuk peningkatan ketepatan yang kecil bertentangan dengan semangat permainan kami dan atas sebab itu, sistem itu perlu dimansuhkan dari musim 2024/25 dan seterusnya,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Sejak diperkenalkan pada musim 2019/20, bukan sekali sistem itu mengundang kontroversi sehingga membawa kepada kritikan daripada pemain, pengurus dan pakar bola sepak.
Musim ini menyaksikan beberapa kelab menjadi mangsa keputusan kontroversi VAR seperti Liverpool, Nottingham Forest dan Wolves.
Wolves memerlukan 14 undi bersetuju untuk menyokong usul pemansuhan VAR daripada EPL. Sekiranya usaha ini berhasil, England bakal menjadi negara kedua selepas Sweden yang menolak sistem tersebut.