Bukan sekali keputusan pembantu pengadil video (VAR) mengubah momentum dan keputusan perlawanan. Dan itulah yang dirasai Panama apabila gol penyamaan yang dijaringkan mereka dalam penentuan tempat ketiga Liga Negara CONCACAF dibatalkan VAR.
Panama tahu dengan mendapatkan tempat ketiga Liga Negara CONCACAF, ia bakal menjadi pencapaian terbaik negara itu sejak bergelar juara Copa Centroamericana pada 2009.
Tetapi lawan mereka bukan calang-calang iaitu naib juara Liga Negara CONCACAF edisi lepas, Mexico. Dan El Tri terlebih dahulu di hadapan menerusi Jesus Gallardo pada minit keempat.
Babak kedua menyaksikan Los Canaleros menyangka telah menyamakan kedudukan menerusi pemain tengah Anibal Godoy pada minit ke-54. Dan normal buat mereka meraikan jaringan tersebut dengan gembira.
Bagaimanapun, keceriaan mereka tidak bertahan lama apabila gol tersebut dibatalkan oleh VAR pada minit ke-56. Ini selepas pemain tengah Nashville SC itu didapati berada pada kedudukan ofsaid semasa menjaringkan gol.
Keputusan itu pastinya melegakan jurulatih interim Mexico, Jaime Lozano. El Tri memastikan tempat ketiga Liga Negara CONCACAF milik mereka sebaik wisel penamat ditiup.
Biarpun tewas tipis, ia masih satu pencapaian yang bagus buat Panama dalam kejohanan. Dan itu pastinya diharap dapat membakar semangat mereka bila menyertai Piala Emas CONCACAF pada Julai ini.