Sedikit perubahan telah dibuat untuk perlawanan Liga Super membabitkan KL City dan Negeri Sembilan. Pasukan Hoben Jang Hoben yang sepatutnya bertandang ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Sabtu ini sebaliknya menjadi tuan rumah kepada City Boys.
Ura-ura tentang perubahan venue perlawanan sudah tersebar luas sejak petang tadi. Salah satunya menerusi ciapan wartawan Astro Arena, Karl Nunis.
Kini, perubahan tersebut telah disahkan oleh Malaysian Football League (MFL). Untuk perlawanan Sabtu ini, Negeri Sembilan menjadi tuan rumah dengan perlawanan diadakan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Sementara perlawanan kedua membabitkan kedua-dua pasukan bakal diadakan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 15 Julai ini. Perubahan jadual perlawanan ini turut dimaklumkan kedua-dua pasukan di laman media sosial masing-masing.
Yang pasti, perubahan jadual perlawanan KL City-Negeri Sembilan ini mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong City Boys. Tetapi disebabkan pemberitahuan perubahan ini dibuat awal, ini memudahkan mereka membuat perancangan untuk mendapatkan tiket pada Sabtu ini.