Penyerang berbisa Napoli, Victor Osimhen sah bakal mewarnai saingan bola sepak Asia dengan menyertai kelab Arab Saudi, Al-Ahli.
Sebelum ini, nama penyerang Nigeria itu dikaitkan dengan beberapa kelab terkemuka Eropah sejak beberapa musim lalu. Ini disebabkan kelibat Osimhen antara penyerang berbisa dalam saingan Serie A.
Musim 2023/24 menyaksikan beliau meledakkan 15 gol dalam saingan liga berkenaan. Manakala 26 gol pada musim 2022/23 membantu Gli Azzurri muncul juara liga.
Kini, Sky Sports melaporkan Osimhen bakal mewarnai saingan Saudi Pro League (SPL) selepas Al-Ahli bersetuju membayar yuran perpindahan £67.3 juta (RM383 juta).
Bekas penyerang Lille itu memeterai kontrak selama empat tahun dengan kos kewangan sebanyak £33.6 juta (RM191 juta) setahun. Kontrak Osimhen turut mengandungi klausa pelepasan sekiranya ada kelab memenuhi nilai yuran yang ditetapkan dalam klausa berkenaan.
Berita ini dijangka meranapkan impian Chelsea yang dilaporkan memburu khidmat Osimhen sejak beberapa musim lalu.
Situasi ini dijangka mendorong The Blues mengalihkan fokus kepada penyerang Brentford, Ivan Toney untuk memperkuat jentera serangan mereka.
Walau bagaimanapun, kelab London itu bakal dikecewakan Al-Ahli buat kali kedua apabila kelab itu bersetuju membayar £40 juta (RM227 juta) kepada Brentford untuk khidmat Toney.