Vietnam antara lapan pasukan yang berjaya layak ke peringkat suku akhir Piala Asia B-23 2026.
Ini selepas AFC mengumumkan secara rasmi lapan pasukan yang berjaya mara ke peringkat tersebut.
Vietnam mara selaku juara Kumpulan A. Anak buah Kim Sang-sik diiringi Jordan selaku naib juara kumpulan sama.
Jordan mara selepas Vietnam mengalahkan tuan rumah, Arab Saudi 1-0 dalam aksi terakhir kumpulan. Nguyen Dinh Bac menjadi pemusnah cita-cita Arab Saudi untuk mara ke suku akhir.
Jepun dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) masing-masing mara selaku juara dan naib juara Kumpulan B. Uzbekistan dan Korea Selatan pula layak selaku juara dan naib juara Kumpulan C.
Australia dan China melengkapkan lapan pasukan yang layak selaku juara dan naib juara Kumpulan D.
Vietnam dijadual bertemu UAE di peringkat suku akhir. Sekiranya tuah memihak kepada anak buah Sang-sik, mereka berpeluang mengulangi pencapaian Indonesia mara ke separuh akhir pada edisi sebelumnya.
Pencapaian terbaik Vietnam dalam Piala Asia B-23 ialah bergelar naib juara dalam edisi 2018. Pada ketika itu, Vietnam dibimbing Park Hang-seo.