Vietnam Asah Taji Di Korea Selatan
MakanBola
Vietnam FF

Vietnam mengikut jejak negara serantau, Singapura dengan memilih mengadakan kem latihan di luar negara.

Tidak seperti Singapura yang memilih Jepun sebagai negara pilihan, Pahlawan Bintang Emas pula memilih Korea Selatan sebagai destinasi pilihan.

ASEAN Football melaporkan anak buah Kim Sang-sik bakal menjadikan Busan, Korea Selatan sebagai kem pusat mereka dari 21 November hingga awal Disember ini.

Penganjuran kem latihan pusat ini bertujuan mempersiapkan Vietnam menjelang saingan ASEAN Championship 2024 yang bakal membuka tirainya pada 8 Disember ini.

Selain kem latihan, Pahlawan Bintang Emas juga bakal mengadakan beberapa aksi persahabatan dengan kelab-kelab Korea Selatan.

Ini turut menjelaskan mengapa Vietnam tidak mengikut negara-negara serantau yang sibuk mengatur aksi persahabatan pada bulan yang sama.

Ini menjadikan aksi persahabatan menentang India pada 12 Oktober lalu sebagai aksi persahabatan antarabangsa terakhir sebelum kem latihan di Korea Selatan. Aksi tersebut berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Bui Vi Hao meletakkan Vietnam di hadapan pada separuh masa pertama. Walau bagaimanapun, Farukh Choudhary memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada akhir perlawanan.

Vietnam berada dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Filipina, Myanmar dan Laos. Pasukan itu akan membuka tirai kempen kumpulan dengan menentang Laos pada 9 Disember.