Skuad Vietnam Bawah 19 Tahun (B-19) berdepan kemungkinan turun pangkat ke fasa pembangunan Piala Asia B-20 edisi berikutnya.
Kemungkinan itu timbul selepas Vietnam tewas dua kali dalam Kumpulan C pusingan kelayakan Piala Asia B-20 2027.
Vietnam yang juga tuan rumah untuk kumpulan tersebut tewas 3-0 kepada Korea Selatan dalam aksi pertama. Ini disusuli kekalahan 2-1 di tangan Palestin.
Dua keputusan ini menyaksikan skuad muda Naga Emas kini menduduki tangga terakhir kumpulan tanpa sebarang mata dengan baki satu perlawanan.
Jika anak buah Yutaka Ikeuchi gagal menewaskan Iran dalam aksi terakhir kumpulan pada 6 September ini, Vietnam bakal tersingkir ke fasa pembangunan.
Jika perkara itu berlaku, Vietnam perlu berada dalam kelompok dua pasukan teratas kumpulan fasa tersebut dalam edisi tersebut untuk kembali ke peringkat kelayakan.
Situasi ini berpotensi menyebabkan Vietnam terpaksa melupakan hajat layak ke Piala Asia B-20 2029 dan fokus kepada edisi berikutnya.
Justeru, aksi menentang Iran dilihat penentu sama ada Vietnam bakal turun pangkat ke fasa berkenaan atau terus berjuang dalam pusingan kelayakan edisi berikutnya.