Skuad Vietnam Bawah 16 Tahun (B-16) mara ke separuh akhir Kejuaraan ASEAN B-16 2024 dengan membelasah Myanmar 5-1 dalam aksi terakhir Kumpulan B.
Vietnam perlu menewaskan Myanmar untuk bergelar juara Kumpulan B selepas diikat 1-1 dengan Kemboja pada 25 Jun lalu. Manakala Myanmar pula perlu menang jika ingin layak sebagai naib juara terbaik kumpulan.
Separuh masa pertama menyaksikan Pahlawan Bintang Emas berusaha mendapatkan kelebihan gol awal.
Vietnam yang dibimbing Tran Minh Chien memecah kebuntuan menerusi Nguyen Thai Hoa pada minit ke-18. Thai Hoa yang tidak dikawal melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol The Asian Tigers, Htet Wai Yan.
Lapan minit selepas itu, nama Thai Hoa kembali menjadi sebutan. Pemain muda Becamex Binh Duong itu melepaskan rembatan jarak jauh yang menyebabkan Wai Yan tewas lagi buat kali kedua.
Tatkala Pahlawan Bintang Emas menyangka telah meraih kelebihan selesa 2-0, Nyi Nyi Thant merapatkan jurang buat Myanmar pada minit ke-41. Nyi Thant berjaya melepasi kawalan dua pemain Vietnam sebelum melepaskan rembatan leret ke arah gawang yang kosong.
Kedua-dua pasukan terus memberi saingan hebat di atas padang tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Pahlawan Bintang Emas terus memberi tekanan ke arah Myanmar untuk memulihkan kembali kelebihan dua gol.
Keadaan ini memaksa barisan pertahanan The Asian Tigers diketuai Myo Khant Nyaw bekerja keras menyerap setiap tekanan yang dikenakan jentera serangan Vietnam.
Gawang Myanmar akhirnya bocor buat kali ketiga pada minit ke-66. Bui Duy Dang yang masuk sebagai pemain gantian meledakkan gol ketiga Vietnam.
Vietnam terus berpesta gol kali ini menerusi Nguyen Thai Hieu pada minit ke-71. Thai Hieu menambah gol ketiganya dalam kejohanan dengan meledakkan gol melepasi jangkauan Wai Yan.
Penjaring terbanyak Pahlawan Bintang Emas dalam Kejuaraan ASEAN B-16 2024, Nguyen Viet Long menambah gol kelimanya pada minit ke-81. Keputusan 5-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini memastikan Vietnam muncul juara Kumpulan B dengan tujuh mata. Meskipun Kemboja memiliki mata sama selepas mengalahkan Brunei 6-0, Vietnam mendahului dari segi kelebihan jaringan.
Pahlawan Bintang Emas kini menanti juara Kumpulan C atau naib juara terbaik dari Kumpulan A atau C sebagai lawan di peringkat separuh akhir pada 1 Julai.