Vietnam Belasah Kelab Korea
MakanBola
Vietnam FF

Vietnam membuka kempen persiapan menghadapi ASEAN Hyundai Cup 2026 dengan membelasah kelab K-League 3, Siheung Citizen FC 6-0.

Aksi menentang Siheung merupakan sebahagian daripada tiga aksi pemanas badan yang diatur untuk anak buah Kim Sang-sik semasa berada di Korea Selatan.

Bekas jurulatih Jeonbuk Hyundai Motors itu memilih menurunkan kesebelasan berbeza pada separuh masa pertama dan kedua. Ini termasuk trio pemain naturalisasi, Nguyen Xuan Son, Do Hoang Hen dan Nguyen Tai Loc yang beraksi pada babak kedua.

Nguyen Tran Viet Cuong membuka tirai jaringan buat Pahlawan Bintang Emas seawal minit kedua. Nguyen Hai Long memastikan Vietnam mendahului 3-0 sehingga rehat menerusi dua gol pada minit ke-31 dan minit akhir babak pertama.

Bersambung selepas rehat, Sang-sik menurunkan barisan pemain berbeza termasuk Xuan Son, Hoang Hen dan Tai Loc. Hoang Hen menyumbat gol keempat pada minit ke-48.

Empat minit selepas itu, giliran Xuan Son pula mencetak nama sebagai penjaring. Penyerang muda Cong An Ha Noi FC (CAHN FC), Nguyen Dinh Bac menyumbat gol keenam pada minit ke-83.

Selepas ini, Vietnam akan menentang kelab K-League 2, Yongin City pada 8 Julai. Anak buah Sang-sik akan menutup aksi pemanas badan di Korea dengan menentang Gangwon FC pada 13 Julai.