Vietnam mengesahkan kemaraan ke Piala Asia Futsal 2024 sebagai juara Kumpulan D selepas membelasah Korea Selatan 5-2 di Ulaanbataar, Mongolia hari ini.
Anak-anak buah Diego Giustozzi tahu satu lagi kemenangan bakal mengesahkan kedudukan Vietnam sebagai juara kumpulan.
Manakala Korea Selatan pula berazam untuk membalas dendam selepas dimalukan Vietnam 5-1 dalam Piala Asia Futsal 2022.
Begitupun, Korea Selatan sekali lagi ketinggalan pada minit ke-14 menerusi gol Dương Ngọc Linh. Dua minit kemudian, Nhan Gia Hưng melebarkan kelebihan Vietnam kepada 2-0.
Bersambung pada babak kedua, Korea Selatan berjaya merapatkan jurang menjadikan kedudukan 2-1. Bagaimanapun, Vietnam kembali selesa di hadapan menerusi Ngoc Linh pada minit ke-29.
Vietnam memastikan kemenangan dalam genggaman masing-masing menerusi Đinh Công Viên (minit ke-30) dan Minh Trí (minit ke-35). Begitupun, Korea Selatan memastikan mereka meraih satu lagi gol saguhati pada minit akhir perlawanan.
Biarpun tewas, Korea Selatan tetap layak ke Piala Asia Futsal 2024 dan mengiringi Vietnam sebagai naib juara Kumpulan D.