Bek tengah Fortuna Dusseldorf, Kenneth Schmidt dilaporkan menjadi rebutan Vietnam dan Madagascar.
ASEAN Football melaporkan perebutan itu berlaku kerana Schmidt memiliki pilihan mewakili tiga negara iaitu Jerman, Vietnam dan Madagascar.
Bapa pemain berusia 24 tahun itu berdarah Jerman. Ibu Scmidt pula memiliki darah Vietnam dan Madagascar.
Justeru, bekas pemain remaja SC Freiburg itu memiliki kelebihan memilih negara mana yang mahu diwakili jika ingin beraksi di pentas antarabangsa.
Nama Schmidt mula diintai Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) seawal tahun 2024 menerusi satu laporan Bongda Plus.
Meskipun begitu, Jerman dilihat memiliki kelebihan jika dibandingkan dengan Vietnam dan Madagascar. Ini kerana Schmidt pernah mewakili pasukan Jerman Bawah 18 Tahun (B-18) dan Jerman B-21.
Bekas pemain Hannover 96 itu berpotensi mempertimbangkan semula kemungkinan itu jika gagal mendapat panggilan mewakili Die Mannschaft di peringkat antarabangsa.