Vietnam menutup kempen Piala Asia B-23 2026 dengan nota manis apabila meraih tempat ketiga kejohanan itu.
Kejayaan itu dicapai dengan menewaskan Korea Selatan menerusi penentuan sepakan penalti.
Selepas tersingkir di peringkat separuh akhir, fokus anak buah Kim Sang-sik ialah meraih tempat ketiga dalam Piala Asia B-23. Misi sama turut dibawa Korea Selatan yang dibimbing Lee Min-sung.
Nguyen Quoc Viet mengejutkan skuad muda Pahlawan Taeguk dengan gol pada minit ke-30. Gol tersebut membolehkan Vietnam mendahului sehingga rehat.
Korea Selatan bangkit menyamakan kedudukan menerusi Park Tae-won pada minit ke-69. Kem Vietnam kembali ceria apabila Nguyen Dinh Bac kembali meletakkan pasukan itu di hadapan dua minit selepas itu.
Shin Min-ha memastikan perlawanan diheret ke masa tambahan menerusi gol penyamaan pada minit ke-97.
Selepas kedua-dua pasukan masih terikat 2-2, penentuan sepakan penalti dibuat bagi menentukan pemenang. Vietnam ceria meraih tempat ketiga dengan keputusan 7-6.
Keputusan ini dijangka membakar semangat Vietnam menjelang kempen Sukan Asia 2026 dan Sukan SEA 2027.