Mengikut pada perancangan awal, pasukan bola sepak kebangsaan Vietnam akan mengharungi tiga perlawanan antarabangsa FIFA iaitu menentang China, Uzbekistan dan Korea Selatan. Namun salah satu perlawanan tersebut tidak diiktiraf FIFA.
Perlawanan yang dimaksudkan adalah perlawanan menentang Uzbekistan yang dijadualkan pada 13 Oktober ini. Perlawanan tersebut tidak diiktiraf FIFA kerana sebuah pasukan hanya dibenarkan melalui dua perlawanan sahaja dalam ‘FIFA Matchday’.
Disebabkan perkara berkenaan, Vietnam mengubah pelan asal dengan menjadikan perlawanan menentang Uzbekistan adalah sebagai perlawanan latihan dan ianya diadakan secara tertutup dan tanpa kelibat media.
Perlawanan tersebut adalah bagi membantu kakitangan kejurulatihan kedua-dua pasukan menguji formasi, taktikal dan keputusan mereka tidak dikira dalam ranking FIFA. Peminat tentunya tidak berpeluang menonton pertandingan antara Vietnam dan Uzbekistan secara langsung di mana-mana platform media.
Vietnam yang kini berada di ranking ke-95 dunia dalam ranking FIFA bakal berdepan pasukan tuan rumah, China yang berada di ranking ke-80 dunia hari ini 10 Oktober. Perlawanan yang dijadualkan bermula pada 7.35 malam itu akan dilangsungkan di Stadium Pusat Sukan Dalian, China.