Bekas pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen berpotensi terlepas saingan Sudirman Cup 2025.
Ini selepas jaguh Denmark itu mengumumkan beliau bakal menjalani rawatan endoskopik untuk merawat kecederaan belakang yang dialaminya.
Axelsen, 31, mengalami rasa tidak selesa di bahagian belakang sejak temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.
Situasi itu tidak menghalang pemain nombor tiga dunia itu meraih tiga kejuaraan jelajah Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) dalam tempoh berkenaan.
Namun begitu, Axelsen melihat inilah masa sesuai untuk beliau mendapatkan rawatan dan kembali pulih sepenuhnya.
“Selepas mengadakan perbincangan dengan pasukan perubatan saya, saya telah memutuskan untuk menjalani rawatan endoskopik untuk kecederaan belakang saya pada minggu hadapan,” katanya di X.
“Walaupun itu bermakna saya akan perlu berehat selama beberapa minggu untuk pemulihan pasca-pembedahan, saya yakin saya akan kembali lebih kuat.”
Pengumuman ini mengundang persoalan sama ada beliau sempat cergas untuk saingan Sudirman Cup.
Seandainya beliau perlu berehat lama, maka nama Rasmus Gemke berpotensi dipilih sebagai pemain sokongan buat pemain nombor dua dunia, Anders Antonsen.
Axelsen menjadi binang terbaru yang akan terlepas beraksi dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF selepas Lee Zii Jia dan Anthony Sinisuka Ginting.
Zii Jia dan Anthony masing-masing berehat selepas mengalami kecederaan buku lali dan bahu. Kedua-duanya turut memohon perlindungan ranking daripada BWF untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan.