Kapten Liverpool, Virgil van Dijk sah kekal bersama pasukan itu sehingga tahun 2027.
Pemeteraian kontrak baru ini sekaligus menamatkan desas-desus tentang statusnya bersama The Reds. Ini kerana sebelum ini, beliau memiliki baki kontrak sehingga akhir musim 2024/25.
Meskipun dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona dan Real Madrid, van Dijk tetap komited bersama Liverpool.
“Saya amat gembira dan bangga. Sudah tentu terdapat banyak emosi yang bermain dalam kepala saya ketika ini bila bercakap tentangnya,” katanya dalam satu kenyataan.
“Ianya satu kebanggaan dan kegembiraan. Ia sangat hebat. Pengembaraan yang saya lalui dalam karier saya dan melanjutkannya selama dua tahun lagi di kelab ini cukup mengagumkan, saya sangat gembira.”
Van Dijk mengikut jejak seorang lagi tonggak Liverpool, Mohamed Salah yang memilih melanjutkan kontrak beliau di Anfield.
Sejak tiba di Merseyside pada 2018 dari Celtic, beliau telah merekodkan 314 penampilan, 27 gol dan 13 bantuan gol. Ini termasuk gol kemenangan ketika menentang West Ham United baru-baru ini.
Sepanjang tempoh bersama Liverpool, van Dijk telah menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL), Carabao Cup, The Emirates FA Cup dan Liga Juara-Juara UEFA (UCL).
Bek tengah Belanda itu berpeluang menambah satu lagi trofi EPL sekiranya Liverpool menewaskan Leicester City dan Arsenal kecundang kepada Ipswich Town pada hujung minggu ini.