Menteri Besar (MB) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berseloroh meskipun pasukannya tewas, nasib mereka tidaklah seteruk kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Man United.
Perkara itu dinyatakan beliau menerusi satu hantaran di Facebook bila mengulas aksi persahabatan antara Pilihan MB Selangor dan Pilihan MB Kedah di Pusat Latihan Selangor FC pada 3 September lalu.
Perlawanan turut dihadiri Pengerusi Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Dr Johan Kamal Hamidon dan pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim.
Perlawanan tersebut berakhir dengan kemenangan pasukan Pilihan MB Kedah dengan keputusan 8-5. Lebih menarik, MB Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut menjaringkan gol buat pasukan itu.
Meskipun tewas dengan jumlah jaringan besar, Amirudin menyifatkan perlawanan tersebut mampu mengeratkan hubungan baik yang terjalin antara kedua-dua kerajaan negeri.
“Semalam telah berlangsung perlawanan persahabatan bola sepak antara Pilihan MB Selangor menentang Pilihan MB Kedah di Shah Alam.
“Meskipun kami tewas namun kami tetap mempamerkan aksi yang hebat. Takdelah lauk sangat macam Manchester United,” katanya.
Sanusi berada di Selangor sejak Selasa kerana mengetuai delegasi kerajaan negeri Kedah mengadakan lawatan di negeri berkenaan. Kedua-dua figura berkenaan turut menjadi saksi pemeteraian kerjasama antara dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utiliti Kedah dan Selangor.
Amirudin berharap hubungan baik yang terjalin antara Kedah dan Selangor terus dieratkan terutama menerusi perlawanan bola sepak.