Nama nama bekas penyerang kebangsaan, Wan Rohaimi Wan Ismail terus dikenali dalam dunia buku menerusi buku terbarunya, Practice Dua.
Practice Dua merupakan nukilan terbaru penolong jurulatih KL City FC itu. Ini sebagai sebahagian daripada usahanya untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam dunia bola sepak kepada orang ramai yang beraspirasi menceburi dunia bola sepak.
Sebelum ini, beliau pernah menghasilkan empat buah buku iaitu WR Notebook, WR Session Plan, WR Coaching Process dan WR Teknik Asas Bolasepak.
Nama Wan Rohaimi bukan asing dalam dunia bola sepak Malaysia. Beliau pernah aktif sebagai pemain profesional dari tahun 1996 hingga 2011.
Semasa tempoh tersebut, beliau pernah mewakili Johor FC (kini Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Terengganu FC, Kelantan FC, Selangor FC, Public Bank, Penang FC dan Pahang (kini Sri Pahang FC).
Selepas menggantung but pada 2011, Wan Rohaimi menceburi dunia kejurulatihan. Beliau pernah menjadi jurulatih skuad Bawah 16 Tahun (B-16) Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dari 2014 hingga 2019.
Wan Rohaimi kemudiannya melatih skuad Piala Belia Perlis (2019-2020), Piala Presiden Penang (2020-2021), PDRM FC (2021-2022) dan skuad Piala MFL KL City pada musim 2023.
Practice Dua pada asalnya diterbitkan dalam Bahasa Inggeris dengan judul Practice pada penghujung tahun lepas. Buku ini menyentuh pelbagai aktiviti bola sepak yang sesuai untuk semua orang.
Buku ini bukan saja membantu mana-mana jurulatih untuk mempelbagaikan aktiviti bola sepak dalam setiap sesi latihan mereka. Malah, ini membantu jurulatih membentuk pemain agar dapat berfikir dalam perlawanan.
Selepas ia diterbitkan, Practice mendapat sambutan menggalakkan di mana ia terjual sehingga ke Singapura dan Indonesia.
Sebagai tanda penghargaan kepada sokongan yang diberi kepada Practice, ia diterjemah ke Bahasa Melayu di bawah judul Practice Dua.
Peminat bola sepak yang ingin mendapatkan karya terbaru Wan Rohaimi ini boleh berbuat demikian dengan membuat tempahan menerusi pautan di sini.