Seorang wartawan Sepanyol mendakwa pemain tengah CD Tenerife, Fabio Gonzalez telah menyertai kelab gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Khabar ini dikongsikan penyampai radio Radio Nacional de Espana, Norberto Gonzalez Mencara. Beliau memaklumkan Gonzalez bakal menjadi bekas pemain Las Palmas ketiga menyertai JDT selepas Jese Rodriguez dan Jonathan Viera.
“Pemain tengah Gran Canaria, Fabio González kini pemain baru untuk pasukan Johor Darul Ta’zim dari Malaysia.
“Bekas pemain remaja UD Las Palmas yang menamatkan musim di CD Tenerife telah menyertai kelab Malaysia di mana Jonathan Viera dan Jese juga bermain. Selamat berjaya!” katanya di X.
Sebelum ini, media Sepanyol melaporkan Gonzalez dilaporkan telah menerima tawaran sebuah kelab dari Malaysia. Pada ketika itu, identiti kelab berkenaan tidak dinyatakan.
Gonzalez, 28, bakal meninggalkan kelab pada 30 Jun ini meskipun baru menyertai Tenerife pada Januari lalu. Beliau merekodkan 13 penampilan buat kelab berkenaan.
Sebelum menyertai Tenerife, Gonzalez merekodkan 126 penampilan dan empat bantuan gol untuk Las Palmas.