Malaysia meneruskan momentum kemenangan dalam Kumpulan A Women’s Indoor Asian Hockey (WIAC) 2024 apabila membelasah Oman 12-1.
Selepas meraih kemenangan dominan 25-0 ke atas Vietnam, The Malaysian Tigress kini mensasarkan wakil Asia Barat itu sebagai mangsa seterusnya.
Dan skuad negara tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan pada minit keenam menerusi Siti Nur Arfah Mohd Nor.
Dua minit kemudian, skuad negara yang dibimbing Rodhanizam Mat Radzi menggandakan kelebihan mereka menerusi pukulan penalti Juliani Mohamad Din. Belum sempat Oman kembali bernafas, Siti Nur Arfah menjaringkan gol ketiga pada minit ke-11.
Nuraslinda Said dan Fazilla Sylvester Silin masing-masing menyumbat gol pada minit ke-12 bagi menjadikan kedudukan 5-0.
Nur Atira Mohamad Ismail dan Raja Norsharina Raja Shahbuddin terus menceriakan kem negara dengan gol kelima dan gol keenam pada minit ke-15 dan 18. Keputusan 7-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Oman menjaringkan gol saguhati menerusi gol padang Maroa Al Saidi.
Gol tersebut tidak menghalang The Malaysian Tigress daripada menjaringkan gol seterusnya. Ellya Syahirah Ellias menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-24.
Siti Nur Arfah mencipta hatrik menerusi gol pada minit ke-27. Ini disusuli satu lagi jaringan daripada Raja Norsharina dua minit selepas itu.
Oman makin derita apabila Fazilla meledakkan gol ke-11 Malaysia pada minit ke-34. Raja Norsharina mengikut jejak langkah Siti Nur Arfah dengan hatrik seminit selepas itu.
Keputusan ini menyaksikan Malaysia makin unggul di persada Kumpulan A selepas dua perlawanan.
Hari ini, skuad negara bakal turun menentang Kazakhstan dan Iran untuk dua aksi terbaru kumpulan.