Selangor mengumumkan seramai 10 orang pemain telah meninggalkan pasukan tersebut setelah berjuang dalam saingan FA Selangor Women’s Super League (WSL) 2024.
Menerusi satu hantaran di laman Instagram Selangor FC Women pada Sabtu, seramai 10 orang pemain utama termasuk kapten pasukan, Siti Nur Faizah mengucapkan selamat tinggal buat The Red Giants setelah berakhir kempen WSL tempoh hari.
Pihak Selangor di dalam hantaran tersebut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kerjasama dan usaha keras yang ditampilkan para pemain tersebut sepanjang menyarung jersi kebanggaan Merah Kuning.
”Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada 10 pemain atas dedikasi dan kerja keras mereka sepanjang FA Selangor Women’s Super League 2024,” ucap Selangor FC Women di ruangan kapsyen.
“Kelab mendoakan yang terbaik untuk mereka pada masa hadapan.”
10 orang pemain tersebut merupakan Siti Nur Faizah, Syafiqa Irisya, Alia Nadhirah, Amesha Gabriel, Dania Batrisya, Hamira Yusma, Aina Humaira, Ain Nur Qaseh dan dua penjaga gol, Juliana Azwa serta Qhaleesa Maisara.
Dalam saingan WSL yang melabuhkan tirai beberapa minggu lalu, skuad wanita Selangor mengakhiri cabaran di peringkat suku akhir apabila tewas kepada SSS Leopard menerusi penentuan sepakan penalti 1-4 setelah terikat 0-0 dalam masa sebenar.